Buku Chit Chat TERBARU Akan diterbitkan

Siri yang ke sembilan akan diterbitkan oleh PTS Millennia Sdn. Bhd. menjelang bulan Oktober 2008 ini. Sila dapatkan buku Chit Chat Remaja mengenai Urus Wang di kedai-kedai buku berdekatan.

Kini kita menghadapi krisis ekonomi yang disebabkan ketidakstabilan ekonomi dunia termasuk kenaikan harga minyak. Semua harga barang makin naik. Beberapa stretegi dan sikap kita perlu dibentuk berkaitan pengurusan wang.

Ada banyak topik menarik yang akan dibincangkan. Antaranya ialah:

Chit Chat 1: Belanjawan Karipap
Chit Chat 5: Jutawan Cikai
Chit Chat 7: Kaki Pangkah dan Orang Kaya Baru
Chit Chat 11: Wah, Terlebih Sudah!
Chit Chat 16: Jangan Beli Jika Tiada Keperluan
Chit Chat 20: Prinsip Biji Benih
Chit Chat 23: Kisah Sedekah
Chit Chat 25: Main Kutu
Chit Chat 26: Tabung Ayam
Chit Chat 33: Usahawan Muda
Chit Chat 35: Bekerja Dalam Keluarga

Oh ya… Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri… Maaf zahir dan batin…

Galeri Gambar Gua

Kekawan… saya ada buat khidmat fotografi untuk pelbagai function (harga kekawan)… khusus untuk majlis perkahwinan… function lain pun boleh juga… termasuklah kalau nak bergambar saja-saja dengan kelab atau group masing-masing… Saya pun buat untuk suka-suka sebab minat dan enjoy dengan kerja ni… kalau ada masa, jenguk la koleksi gambar saya… ia masih dalam proses upload koleksi gambar yang saya ada… insyaAllah akan dikemaskini dari semasa ke semasa… sesiapa yang berminat, sila klik di sini…  

Puasa Zaman Bebudak

SELAMAT BERPUASA. Jadikan bulan yang mulia ni sebagai kesempatan untuk kita bershopping pahala banyak-banyak. Elakkan pembaziran. Objektif puasa kita tak kesampaian kalau kita membazir lebih daripada selain bulan puasa. Jalani bulan Ramdhan ini dengan kesederhanaan. Nafsu kita cuma perlu dikawal, bukan dikekang. Walaupun perlu menahan diri daripada lapar dan dahaga, kita masih bersahur dan berbuka.

Dah dekat-dekat nak puasa ni. Teringat pula aku kenangan berpuasa zaman budak-budak dulu. Apa kata kalau bulan puasa ni kita share pengalaman berpuasa masa lepas? Aku ada beberapa pengalaman lawak yang aku ingat dulu pernah buat…

1. Kumur sambil minum. Aku buat benda ni masa kat sekolah rendah dulu kalau tak tahan haus. Mula-mula aku tanya cikgu kalau kumur batal puasa ke tak? Cikgu kata tak batal. So aku pun pergi toilet, kumur-kumur air paip. Air masuk penuh satu mulut, tapi yang keluar balik cuma separuh je. Separuh lagi tak tau pergi mana. Hehehe

2. Perut kat lantai. Masa tu aku belum sekolah lagi. Terdengar kat radio, ada orang kata kalau nak tahan lapar letak perut kat lantai simen. Sejak hari tu, waktu nak berbuka je sure aku selak perut dan meniarap atas lantai simen. Macam dah lapar sangat la tu.

3. Nangis. Masa umur 6 tahun aku puasa setengah hari je. Suatu hari tu mak aku suruh puasa penuh sebab adik perempuan aku pun nak puasa juga. Malu beb kalau adik boleh puasa. Sekali aku try, tak tahan haus. Petang tu aku nangis pukul 6 petang. Dah nak berbuka pun. Tapi aku minum juga. Adik aku tengok je kan. Malu beb.

Lepas ni kalau aku teringat lagi cerita-cerita baru, kita share ok. Budak yang menangis tak tahan puasa tu ialah di sebelah kanan dalam gambar di atas… hehehe

Celebrate merdeka ataupun sambut Ramadhan?

Hari ulangtahun kemerdekaan menjelang tiba pada 31 Ogos ini.

Ramadhan al-mubarak pula akan menyusul pada 1 September.

Sambutannya hanya berjarak sehari. Selama ini kita ‘celebrate’ ulangtahun kemerdekaan dengan laungan “Merdeka!” tanpa diketahui ataupun dihayati maksud serta nilainya. Celebrate merdeka sampai larut malam. Bersuka ria tak tentu pasal. Apa kaitannya?

Tahun ini, selepas celebrate merdeka kita sambut bulan puasa pula. Macam mana nak sambut? Sehari sebelumnya kita bersuka ria di tengah malam. Keesokkan harinya kita berterawih pula.

Apa patut kita buat sebenarnya? Abaikan sambutan kemerdekaan? Itu memang tak wajar sebab ia adalah lambang kebebasan negara kita. Abaikan Ramadhan? Na’uzubillah…

Ataupun perlu terdetik dalam hati kita bahawa sambutan kemerdekaan sering disambut dengan nilai yang kosong tanpa penghayatan sebenarnya. Bersyukurkah kita apabila mengimbau detik bersejarah kemerdekaan negara?

Kedua-dua sambutan kemerdekaan dan Ramadhan ini adalah penting buat kita. Tetapi bagaimana cara kita menyambutnya? Ada percanggahan ke? Ataupun cara kita yang bercanggah?

Buat Perbandingan: Betapa Kerdilnya Kita

MARI kita bayangkan betapa agungnya ciptaan Allah swt. Pastinya keagungan dan kebesaran Allah itu tidak dapat dibayangkan dan terjangkau oleh pemikiran manusia. Memang benar, membuat perbandingan adalah cara terbaik bagi menjelaskan gambaran minda kita mengenai baik atau buruknya sesuatu perkara dan besar atau kecilnya sesuatu kejadian. Ada golongan mengatakan perbandingan ini sebagai “Crazy Size Comparison”. Tetapi bagaimana pula dengan kita?

Sibuk Menulis

Assalamu’alaikum para pembaca dan pelawat blog Chit Chat Remaja. Minta maaf kerana akhir-akhir ni jarang update blog. Sebenarnya saya sedang sibuk menyempurnakan manuskrip Siri Chit Chat Remaja mengenai Bajet iaitu siri ke sepuluh daripada siri ini. Maklumlah, menulis ni perlukan sedikit fokus berkenaan tajuk yang hendak ditulis. Dengan adanya fokus, kerja kita lebih cepat selesai.

InsyaAllah bila dah siap nanti, saya akan share sedikit isi kandungannya kepada anda semua.

Indeks al-Quran Bahasa Melayu dan Terjemahan Maksud Bahasa Inggeris

Beberapa hari ni, ada la beberapa orang member yang share bahan rujukan ni kat aku. Bagi seorang penulis, bahan sebegini sangat berharga dan membantu. Ianya adalah indeks al-Quran dalam versi Bahasa Melayu dan Inggeris. Senang nak guna. Copy dan paste saja. Semoga orang yang buat indeks ni mendapat ganjaran yang selayaknya diterima kerana menyebar serta berkongsi ilmu pengetahuan dengan kita semua. Kalau nak download, klik saja link di bawah ini…

Indeks al-Quran Bahasa Melayu

Al-Quran in English

Agro Tourism di Fruit Farm

SERONOK juga kalau sesekali bercuti di tempat damai seperti di Fruit Farm yang memberi kita pengetahuan mengenai buah-buahan, tanaman herba dan binatang ternakan. Biasanya dalam tempoh cuti yang singkat kita lebih suka memilih lokasi yang sibuk seperti bowling, wayang, lepak minum kopi dan sebagainya di sekitar bandaraya. Mungkin itu pilihan masing-masing atas faktor-faktor tertentu.

Ada orang jenis extrovert yang sukakan kemeriahan sebagai suatu keseronokan. Macam aku lak, lebih suka tempat yang damai dan tenang. Alasannya kerana aku lebih cenderung kepada personaliti introvert.

Dalam fruit farm tu aku sangat tertarik dengan kolam ikan Koi. Kalau korang nak tau, ikan ni memang la aku minat. Kalaulah ada peluang dan rezeki lebih, nak juga aku buat kolam ikan Koi kat rumah. Ikan ni senang nak jaga dengan syarat makanan yang diberikan jangan jenis terlalu murah kerana kualitinya boleh sampai menggalakkan bakteria pada ikan. Korang tengok la gambar ni… Punya la geram aku tengok ikan macam ni punya banyak… Fuyoo

Wasiat Terakhir Mak Temah

Kisah ni aku dapat daripada email. Mungkin ramai yang dah pernah baca. Tapi aku nak share juga sebab cerita ni lawak giler. Korang baca la. Kepada penulis cerita ni, maaf tak dapat sertakan nama sebab sumbernya tak diketahui…

SETELAH beberapa hari ditempatkan di wad ICU,keadaan Mak Temah mula beransur stabil. Keesokan harinya beliau dipindahkan ke wad biasa, tetapi peralatan pernafasannya masih belum ditanggalkan.

Tok Ketua bercadang untuk melawat Mak Temah yang merupakan salah seorang kariah mukimnya. Bersama isterinya Bedah, Tok Ketua ke hospital lewat petang itu untuk menziarah jirannya itu. Mak Temah kelihatan amat lemah tetapi masih dapat mengenali tetamu-tetamunya. Dia memandang ke wajah Mak Bedah dengan mulut yang terkumat kamit.

Mak Bedah mendekati Mak Temah sambil mendekatkan telinganya ke bibir beliau. Tok Ketua yang berada di sisi katil sebelah lagi juga turut mendekati bahagian kepala Mak Temah. Tetapi, tiba-tiba Mak Temah mengalami sesak nafas dan dadanya berombak-ombak turun naik. Dalam keadaan kelam kabut itu, Tok Ketua terlihat tangan Mak Temah seolah-olah meminta pen dan kertas.

Kebetulan Tok Ketua menyimpan beberapa helai kertas kecil di dalam saku koceknya dan dengan segera menyerahkannya kepada Mak Temah.

Tentunya Mak Temah mahu menulis wasiat, getus fikirannya. Nafas Mak Temah semakin sesak dan akhirnya terhenti setelah beliau menuliskan ayat terakhirnya. Menghormati jenazah, Tok Ketua tidak mahu membaca wasiat itu di depan arwah Mak Temah.

Keesokannya setelah jenazah disempurnakan, barulah Tok Ketua memanggil kesemua waris Mak Temah dan menyatakan Mak Temah sempat menuliskan wasiat untuk mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir. Waris-warisnya berasa hairan kerana setahu mereka MakTemah bukan orang berharta.

Perlahan-lahan Tok Ketua mengeluarkan kertas yang ditulis oleh arwah Mak Temah semalam dan memasang cermin matanya. Mukanya merah padam dan kertas tersebut jatuh daripada tangannya. Tiba-tiba Tok Ketua berlari keluar dari bilik tersebut.

Anak sulong Mak Temah, Rizal mengambil kertas tersebut dari lantai dan membacanya.
“Tolong jangan pijak salur oksigen aku, Tok Ketua……!”

Tip Bersenam

Bila nak mula?: Mulakan hari ini juga sementara semangat masih membara.

Sebelum bersenam: Mulakan senaman pertama dengan sukan yang ringan supaya ia tidak memudaratkan atau menjadi sekadar hangat-hangat tahi ayam saja. Jangan anggap hanya sukan seperti tenis, jogging, karate atau bola sepak je yang boleh dianggap sebagai senaman.

Ada banyak senaman lain yang lebih ringan dan menyeronokkan serta mampu membakar kalori lebihan. Contohnya seperti bersiar-siar, Yoga dan meregangkan otot (warming up). Ia kelihatan seperti bukan senaman tetapi ia baik untuk permulaan.

Pengawal Stress: Jika kita mengalami tekanan atau terlalu letih dengan kerja-kerja seharian, bersenam sebenarnya adalah pilihan yang paling baik untuk mengembalikan mood kita. Senaman akan berfungsi ibarat pencuci kepada jiwa raga kita. Oleh itu, ada di antara kita yang mengungkapkan senaman itu sebagai suatu ‘olahraga’.

Kepenatan yang kita perolehi hasil daripada bebanan kerja berbeza dengan kepenatan yang diperolehi daripada hasil sukan dan senaman. Letih bekerja memberikan tekanan tetapi penat bersukan memberi keselesaan atau kelegaan.

Bersenam sebelum makan: Elakkan bersenam selepas makan kerana ia membahayakan proses pencernaan. Seeloknya biarlah senaman itu dilakukan sekurang-kurangnya setengah jam selepas makan atau jangan makan terlalu kenyang jika kita ingin bersukan selepas waktu tersebut.

Keselamatan: Sila ambil kira tentang keselamatan diri. Elakkan daripada berjogging dan bersiar-siar pada waktu atau di tempat yang sunyi terutama sekali pada golongan wanita. Keselamatan kita boleh terjejas apabila ada yang selalu memerhatikan amalan rutin kita semasa senaman. Ambil kira juga tentang sukan yang terlalu lasak sehingga boleh menjejaskan keselamatan diri. Jaga sendi dan otot-otot kita kerana tubuh kita masih diperlukan untuk jangka masa yang lebih lama. Sayangi tubuh badan sendiri.

Jangan malu: Perlukah kita merasa malu kerana tidak biasa dengan sesuatu jenis sukan? Perlukah kita malu kerana memiliki berat badan yang lebih untuk bersenam atau bersukan? Kalau diperhatikan di sekeliling kita atau di mana-mana tempat bersukan dan taman-taman, bukan kita seorang sahaja yang baru bermula untuk bersenam. Masih ramai lagi yang juga sama seperti kita yang baru ingin memulakan displin untuk bersenam.

Tidak semua orang yang bersukan itu telah mahir dalam sukan yang mereka libati. Ada kalanya kebanyakan orang hanya bersukan untuk keseronokan tidak sampai ke peringkat professional seperti para atlit. Marilah kita berfikir positif, tolong jangan perasan, tiada orang yang memerhatikan dan ingin mengejek kita dalam aktiviti senaman. Mereka ada urusan masing-masing. Selamba saja!

Pakaian: Kita tidak perlulah menyediakan pakaian-pakaian sukan yang mahal untuk tujuan senaman. Cuma jangan remehkan mengenai penutupan aurat kerana kita sedang melakukan yang baik, maka hendaklah dilakukan dengan cara yang baik juga.

Pakaian yang tebal seperti sweater juga elok untuk mempercepatkan proses perpeluhan dan pembakaran lemak. Jika kita memiliki bajet yang lebih, eloklah memakai kasut atau pakaian sukan yang elok supaya aktiviti ini akan berterusan dengan penuh komitmen.

Cari kawan: Melakukan aktiviti dengan berteman atau berkumpulan mungkin lebih seronok. Cari seorang kawan atau lebih untuk membina matlamat bersama mencapai berat badan ideal. Pilih satu sukan atau jenis senaman yang menyeronokkan dan jadilah pasangan atau kumpulan yang saling memberi semangat di antara satu sama lain. Ini mungkin dapat mendorong semangat dan motivasi untuk kita mencapai matlamat.

Pernafasan sempurna: Bernafas dengan cara yang betul juga penting dalam senaman. Ia membantu kita untuk lebih menumpukan perhatian kepada senaman dan menjadikan senaman lebih efektif mencapai tujuannya.

Jangan bernafas tercungap-cungap atau bernafas terlalu panjang ke dalam. Tetapi bernafas dengan normal. Tarik dengan sempurna dan buang dengan sempurna dengan rentak seimbang. Jika kita mahir, buang nafas ketika sedang melakukan pergerakan berat dan menarik nafas ketika dalam keadaan santai. Pernafasan yang baik adalah kunci untuk memperkembangkan kemampuan kita dalam sukan atau sesuatu senaman.

Daripada Chit Chat Remaja mengenai Diet

Your Ad Here